ISKANDAR PUTERI – Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) tewas di bumi Jepun apabila dibelasah Kawasaki Frontale 5-0 dalam aksi Piala Liga Juara-juara Asia (ACL) di Stadium Kawasaki Todoroki, Jepun sebentar tadi.
Kekalahan itu menyaksikan impian skuad Harimau Selatan untuk melangkah jauh dalam saingan Liga Juara-juara Asia (ACL) semakin tipis.
Pada aksi Kumpulan I itu, Kawasaki Frontale memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri dengan menguasai permainan dan memberi tekanan kepada pasukan pelawat.
Skuad Kendalian Toru Oniki tidak menunggu lama untuk berada di hadapan pada minit kelapan apabila gerakan diilhamkan Takuma Ominami yang bermain hantaran pendek Miki Yamane sebelum mengumpan bola ke dalam kotak penalti yang disudahkan Akihiro Ienaga.
JDT pula dilihat tidak beraksi seperti biasa apabila lebih banyak bertahan dan hanya menunggu lawan membuat kesilapan untuk melakukan serangan balas.
Permainan juara Liga Super 10 musim berturut-turut itu menjadi serba tidak menjadi apabila gerakan yang diatur tidak berhasil dan mudah dipatahkan lawan. -KOSMO! ONLINE