IPOH – Perak akan membentangkan Belanjawan 2024 pada sidang dewan negeri bermula Jumaat ini, yang dianggap sebagai belanjawan pertama bagi pentadbiran Kerajaan Perpaduan negeri.
Belanjawan itu dibentangkan menerusi Enakmen Perbekalan 2024 yang akan dibawa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurut Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, semua ahli dewan akan diberi peluang untuk mengambil bahagian pada sesi perbahasan.
Tambahnya, masa sesi perbahasan yang diperuntukan kepada penyokong kerajaan dan ketua pembangkang adalah 40 minit setiap seorang manakala ahli dewan negeri lain selama 20 minit.
“Saya rasa ini bajet pertama oleh kerajaan Perpaduan negeri. Bajet tahun lepas (diluluskan)adalah serta-merta selepas pilihan raya umum,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini yang turut disertai oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Jenny Choy Tsi Jen dan Setiausaha Dewan Negeri, Muhammad Nazri Abdullah.
Mesyuarat Kelima, Tahun Pertama, Dewan Negeri Yang Ke-15 Perak akan berlangsung dari 1 hingga 8 Disember ini.
Selain bajet negeri, Rang Undang-undang Enakmen Wasiat Orang Islam (Perak) 2023 juga akan dibawakan oleh Menteri Besar. – KOSMO! ONLINE