KAPTEN skuad hoki remaja lelaki negara, Muhamad Faris Harizan mampu segera kembali ke tahap terbaiknya sebelum memulakan aksi pertama Piala Dunia Hoki Remaja 2023 menentang Chile di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 5 Disember ini.
Ketua jurulatih Young Tigers, Muhamad Amin Rahim yakin bintangnya itu tidak akan mengambil masa lama meskipun dilihat sedikit bergelut ketika kembali menyertai sesi latihan penuh bersama rakan sepasukan malam kelmarin.
Faris, 20, sebelum ini mengalami kecederaan di bahagian pangkal paha dan terpaksa menjalani rawatan pemulihan selepas tamat saingan Piala Sultan Johor (SOJC) awal bulan ini.
“Faris sebenarnya dah alami kecederaan itu yang menyaksikan dia terlepas Jelajah Eropah sebelum ini. Ia kecederaan biasa bagi seorang fliker tetapi kami tetap uruskan masa permainannya di SOJC.
“Dia baru kembali menjalani latihan penuh malam ini (kelmarin). Boleh lihat badan dia sedang menyesuaikan diri dengan intensiti tinggi pasukan yang sudah tiga minggu jauh di hadapannya.
“Saya tak risau sebab dia salah seorang pemain paling cergas dalam pasukan. Dia sempat kembali ke tahap terbaiknya dalam tempoh seminggu ini sebelum Piala Dunia bermula,” kata Amin selepas tamat sesi latihan kelmarin.
Kepercayaan tersebut menyebabkan Amin turut menyenaraikan nama tonggak pertahanan itu dalam barisan 18 terakhirnya untuk menghadapi kempen Piala Dunia pada sidang media pengumuman pasukan di Stadium Hoki Nasional semalam.
Kehadiran Faris amat penting buat Young Tigers memandangkan dia dan tiga lagi pemain seperti Alfarico Liau, Shahmie Irfan Suhaimi dan Shamir Samsul pernah beraksi pada Piala Dunia Remaja 2021 di Bhubaneswar, India.
Sebagai rekod, Malaysia berada dalam saingan Kumpulan A Piala Dunia Remaja 2023 bersama Chile, juara bertahan, Argentina dan Australia.