PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan seramai 1.25 bilion pekerja terancam di seluruh dunia akibat penularan pandemik Covid-19.
Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pula menyatakan pandemik ini memberi kesan yang amat serius terhadap pelbagai sektor pekerjaan terutama perkhidmatan hotel, makanan, pembuatan dan peruncitan.
Menurut jangkaan ILO, dunia kehilangan 25 juta pekerja sepanjang tahun 2020. Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pula telah menjalankan kajian epidemiologi dan analisis komprehensif yang diterbitkan pada 23 Mac 2020. Dapatan menunjukkan seramai 2.4 juta hilang pekerjaan dengan 67 peratus daripadanya adalah pekerja tidak mahir.
Hakikatnya, keadaan masa kini sangat terkesan kepada bakal graduan selepas tahun 2020. Kadar persaingan untuk memperoleh pekerjaan adalah sangat tinggi.
Bakal graduan perlu bersaing untuk memenuhi keperluan pasaran pekerjaan. Graduan yang mempunyai kemahiran dan kompetensi ada suatu kelebihan dalam kebolehpasaran pekerjaan. Ia membolehkan majikan membuat pilihan dalam mendepani cabaran ketidaktentuan ekonomi semasa.
Jelasnya, bakal graduan perlu bersedia untuk menghadapi cabaran ini dan menggunakan kreativiti bagi menjalankan perniagaan.
Bagi mereka yang telah bergraduan dan belum memperoleh pekerjaan, mereka perlu berusaha untuk mengadaptasi situasi semasa dengan mengenal pasti kemahiran-kemahiran baharu yang diperlukan oleh industri.
Mereka perlu mencari peluang untuk meningkatkan kemahiran supaya relevan dengan keperluan semasa.
Para graduan perlu menonjolkan keunikan kepakaran bidang mereka sebagai nilai tambah untuk dipilih sebagai pekerja. Di samping itu, para graduan perlu mengambil peluang untuk memperkaya pengetahuan dengan sumber-sumber terbuka menerusi program latihan dalam talian.
Mereka boleh memperoleh sijil-sijil kemahiran melalui pembelajaran dalam talian yang ditawarkan oleh organisasi dalam dan luar negara.
Pelbagai inisiatif yang telah ditawarkan dalam meningkatkan kemahiran para graduan sama ada dianjurkan oleh pihak universiti, industri, institusi latihan, kerajaan atau pihak berkepentingan lain.
Secara umumnya, terdapat tiga faktor yang menyumbang kebolehpasaran dan kebolehgajian yang tinggi.
Pertama ialah usaha membentuk daya saing. Usaha membentuk pelajar yang berdaya saing itu menerusi struktur kurikulum yang dinamik dan berhala tuju, penilaian yang reflektif, suasana pengajian yang kondusif beserta aktiviti-aktiviti yang merangsang pembangunan atribut khususnya kemahiran insaniah.
Melalui usaha ini persepsi bakal majikan atau industri dapat diubah terhadap kualiti graduan yang dihasilkan dan meningkatkan kebolehan graduan secara dalaman menerusi pengukuhan atribut.
Antara usaha yang perlu dilakukan antaranya melahirkan pelajar bercirikan berikut iaitu cemerlang bidang akademik, pencapaian purata nilai gred kumulatif (PNGK) yang baik, aktif dalam pelbagai lapangan ilmu, bersedia menggalas tugas lebih mencabar, persediaan tempat dan program terbaik, pemerkasaan atribut idaman industri dan banyak lagi.
Setiap universiti mempunyai set usaha yang berbeza dalam pelbagai bentuk bagi meningkatkan kompetensi dan daya saing pelajar.
Faktor kedua yang merangsang peningkatan kebolehpasaran pelajar adalah melalui instrumen kebolehpasaran.
Strategi ini bertujuan menjadikan graduan sesebuah universiti unik dan nampak berbeza menerusi pengenalan komponen-komponen menyerlah mereka. Ia penting untuk menambah nilai para graduan atau disebut sebagai pakej pelajar.
Instrumen kebolehpasaran juga verifikasi kepada kebolehan pelajar yang diperoleh daripada aktiviti luar akademik yang mampu meningkatkan kebolehpasaran mereka.
Di antara aktiviti terlibat termasuklah sijil profesional (upskilling dan reskilling), portfolio akademik pelajar, ciri keusahawanan, program dwiijazah, pengalaman berada di industri, fasih pelbagai bahasa, ikuti pertandingan, program mobiliti, fasih berbicara, pembangunan sahsiah, penampilan, anugerah pencapaian ko-kurikulum, anugerah kecemerlangan dan lain-lain.
Faktor ketiga yang merangsang peningkatan kebolehpasaran pelajar adalah pemangkin kebolehgajian.
Ia merupakan usaha dan sokongan universiti atau fakulti dalam mendekatkan industri dengan pelajar.
Strategi proaktif ini termasuklah menawarkan pengajian sarjana bagi calon yang layak, kolaborasi berstrategik dengan industri, pesta kerjaya, minggu khas industri bersama pelajar, menjemput bakal majikan sebagai penilai atau juri, program kolaborasi dengan pihak majikan, hari industri bersama pelajar, ceramah teknikal dan industri, sesi temu duga terbuka dan meningkatkan keserlahan melalui media sosial.
Ketiga-tiga faktor ini dapat dicapai melalui pelaksanaan sistem pengurusan akademik yang mantap antaranya dengan penekanan tiga faktor berkenaan.
Bagaimanapun, model sistem pengurusan akademik setiap universiti adalah pelbagai dan ia biasa dibangunkan secara unik mengikut acuan masing-masing.