fbpx

Subsidi diesel pukal wujud ruang ketirisan – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Armizan berucap pada majlis perasmian Simposium Kos Sara Hidup 2023 (SCOL 2023) di Putrajaya, hari ini. -Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Subsidi diesel secara pukal menyebabkan wujud ruang ketirisan sehingga menyebabkan mereka yang tidak bertanggungjawab menyeleweng dan menyeludup diesel di pasaran gelap.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, oleh yang demikian, tidak wajar untuk kerajaan meneruskan suatu pendekatan yang sememangnya tidak adil kepada kumpulan sasar iaitu golongan rakyat yang benar-benar perlu dibantu.

“Inisiatif subsidi bahan api telah bermula sejak 2001. Subsidi diesel yang sepatutnya memberi manfaat kepada nelayan atau pengguna untuk mendapat ‘value for money’ kepada perkhidmatan dan barangan yang mereka beli, turut disalah guna oleh pihak tertentu yang mengambil kesempatan.

“Kerajaan juga menanggung perbelanjaan yang semakin besar dalam peruntukan subsidi, pada tahun 2022, nilai subsidi keseluruhan yang telah dibelanjakan adalah sebanyak RM91.9 bilion, satu nilai yang terlalu besar jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya.

“Bagi tahun 2023, peruntukan asal bagi keperluan subsidi adalah sebanyak RM64 bilion, namun kerajaan mengunjurkan nilai ini mencecah RM 80.9 bilion berdasarkan perbelanjaan semasa,” katanya.

Teks ucapan Ahmad Zahid dibacakan oleh Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali pada Simposium Kos Sara Hidup (SCOL 2023) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dapatan daripada Laporan Kajian Impak Program Subsidi Petrol dan Program Subsidi Diesel Sektor Pengangkutan Terpilih mendapati kumpulan T20 secara purata menggunakan RM399 sebulan bagi petrol RON95 manakala kumpulan B40 secara purata menggunakan RM243 sebulan.

Jelasnya, dapatan ini membuktikan bahawa kaedah subsidi pukal tidak mencapai objektif asas kerana kumpulan sasar yang sepatutnya dibantu tidak mendapat manfaat optimum. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI