fbpx

Konsert untuk orang Siam, penganut Buddha dapat kebenaran – Ketua Sami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar klip video persembahan konsert di Kampung Balai, Bachok baru-baru ini

PETALING JAYA – Konsert di Kampung Balai bawah jajahan Bachok, Kelantan yang tular dalam media sosial baru-baru ini merupakan sambutan perayaan utama kaum Siam dan penganjurannya mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Ketua Sami di Wat Pathumviharn Kampung Balai, Phor Than Plen berkata, acara persembahan berlangsung pada 25 November lalu sempena perayaan Loy Krathong disambut selama 29 tahun di Wat Pathumviharn dan dianggap acara tahunan yang meriah.

Bagaimanapun beliau berasa susah hati susulan isu konsert tersebut selain menjelaskan, pihaknya telah memohon kebenaran bagi penganjuran acara berkenaan.

“Kita sudah memohon kebenaran dan melantik anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi menjaga keamanan. Kami membuat permohonan kepada polis dan menjelaskan semua acara diadakan di Wat Pathumviharn.

“Kami tetapkan garis panduan kepada semua penyanyi yang dijemput, pakaian dan pertuturan mereka juga dikawal. Semua pihak berkuasa begitu memahami dan memberikan kerjasama  yang baik,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Than Plen berkata, beliau khuatir apabila isu ini dibangkitkan ia akan mengeruhkan suasana harmoni antara kaum di Kelantan, selain memberi imej tidak baik kepada Wat Pathumviharn.

“Untuk pengetahuan semua, persembahan nyanyian dalam kalangan masyarakat Siam merupakan satu acara istimewa. Ramai masyarakat muda Siam akan tertarik untuk datang ke Wat, kerana hanya diadakan sekali setahun.

“Kami amat mengalu-alukan kehadiran anak muda Siam ke Wat kerana dengan cara ini mereka boleh bergaul dengan sami, boleh belajar sedikit amalan agam, dan banyak lagi aktiviti lain. Paling penting mereka tidak akan berasa janggal untuk datang ke Wat,” jelasnya.

Jelas beliau, pihaknya berharap semua pihak memahami bahawa acara keagamaan, nyanyian, kebudayaan, permainan tradisional dan lain-lain yang diadakan bermatlamat untuk kebaikan kaum Siam dan penganut agama Buddha.

“Kami ingin memberikan penghargaan kepada pemerintah memahami keadaan masyarakat Siam dan penganut Buddha di Kelantan.

“Kita rakyat Kelantan memang terkenal dengan semangat bersepakat walaupun berlainan pendapat dan agama, tetapi sifat hormat menghormati sudah diajar kepada kami sejak sekian lama.

“Justeru, kami amat berharap semua pihak tidak lagi mengeruhkan air yang sudah lama jernih kerana apabila air sudah keruh, semua orang tidak akan nampak apa-apa dan tiada tujuan untuk digapai,” katanya.

Semalam, Kosmo! melaporkan satu konsert yang memaparkan kumpulan penyanyi wanita dikenali sebagai Thungpang yang berasal dari Thailand, didakwa telah dianjurkan di Kampung Balai jajahan Bachok, Kelantan Jumaat lalu.

Konsert tersebut difahamkan dianjurkan bersempena dengan salah satu perayaan yang dirayakan masyarakat peranakan Kelantan-Siam itu menjadi tular selepas kerajaan membenarkan konsert kumpulan dari United Kingdom, Coldplay di Bukit Jalil. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI