fbpx

PRK Parlimen Kemaman: 3 pasangan tentera selesai mengundi awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fatin Syazwani (kiri), Razidah (tengah) dan Norhayati menunjukkan jari mereka yang sudah dicelup dakwat pilihan raya selepas selesai membuang undi awal di Balai Polis Kijal, Kemaman hari ini.

KEMAMAN – Tiga pasangan kepada anggota tentera selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman di Balai Polis Kijal di sini sebentar tadi.

Razidah Razali, 36, dan Norhayati Ismail, 38, tiba di balai polis itu untuk mengundi pada pukul 9.05 pagi diikuti Fatin Syazwani Mat Husin, 29, pada pukul 10.55 pagi.

Pusat pengundian awal yang diselia Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tersebut dibuka selama empat jam bermula pukul 8 pagi.

Sebelum ini, SPR mengumumkan pengundian awal bagi PRK berkenaan turut melibatkan 387 anggota polis dan enam anggota tentera.

Bagaimanapun, kesemua anggota polis dan tentera terbabit telah ditukarkan undian secara pos bagi memberi tumpuan kepada operasi menyelamat banjir pada musim tengkujuh ini.

Kesemua mereka telah selesai membuang undi pos masing-masing pada 23 dan 24 November lalu.

Hari pengundian biasa ditetapkan pada Sabtu ini yang menyaksikan pertembungan calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mewakili Pas.

PRK Kemaman diadakan susulan pembatalan kemenangan penyandangnya, Che Alias Hamid daripada Pas oleh Mahkamah Pilihanraya Terengganu pada September lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI