KUALA LUMPUR – Syarikat barang kemas Global Royalty Trading SAL dari Lubnan hari ini gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk mendapatkan penghakiman terus dalam kes saman yang dikemukakan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor.
Penghakiman terus adalah permohonan difailkan pihak menuntut untuk mendapatkan penghakiman tanpa melalui perbicaraan apabila isu berhubung fakta atau undang-undang tidak dipertikaikan.
Tuntutan saman yang difailkan Global Royalty terhadap Rosmah itu adalah untuk mendapatkan kembali 43 barang kemas bernilai RM67.4 juta yang didakwa diserahkan oleh ejen syarikat itu kepada Rosmah.
Peguam Rajivan Nambiar yang mewakili Rosmah memberitahu pemberita, Mahkamah Tinggi memutuskan demikian selepas mendapati ia bukan kes sesuai dan wajar untuk membuat penghakiman terus kerana terdapat isu yang perlu dibicarakan ketika perbicaraan.
Sementara itu, beliau berkata, mahkamah membenarkan permohonan anak guamnya supaya Global Royalty memberikan jaminan kos kepada mahkamah, dan memohon saman itu dibatalkan jika syarikat terbabit gagal berbuat demikian.
“Cagaran untuk kos ditetapkan pada RM75,000.00 dengan kebebasan untuk memohon bagi mengubah jumlah berkenaan sebelum perbicaraan iaitu sebaik sahaja pihak bertukar dokumen atau sekiranya pakar akan dipanggil (memberikan keterangan).
“Kos RM75,000.00 perlu dibayar oleh Global Royalty kepada mahkamah dalam tempoh satu bulan bermula dari hari ini. Permohonan Datin Seri untuk prosiding pihak ketiga terhadap polis dan kerajaan Malaysia (untuk membawa mereka sebagai pihak dalam saman ini) ditetapkan pada 14 Disember ini untuk pengurusan kes,” katanya.
Dalam prosiding hari ini keputusan itu dibuat Hakim Ong Chee Kwan melalui prosiding dalam sidang video.
Justeru dengan keputusan itu, kes saman terbabit akan diputuskan melalui perbicaraan penuh dengan saksi kedua belah pihak dipanggil memberikan keterangan.
Semasa prosiding Global Royalty diwakili peguam Datuk David Gurupatham dan Venothani Rajagopal.
Pada 29 Mac lalu, Global Royalty menyaman Rosmah, 71, dan mendakwa Rosmah berbohong dengan menyatakan 44 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh seorang ejen syarikat itu kepadanya dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia untuk kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Menurut syarikat yang berpangkalan di Beirut itu, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis, dan baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa itu.
Plaintif mendakwa defendan memperdayakannya dengan mengalihkan beban kepada kerajaan Malaysia, sedangkan barang kemas itu sebenarnya sudah hilang.
Pada 26 Jun 2018, Global Royalty menyaman Rosmah dan menuntutnya memulangkan kembali 44 unit barangan kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah AS$14.79 juta, namun saman itu ditarik balik pada 2019. – KOSMO! ONLINE