KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan dua individu secara berasingan di kawasan Kota Bharu, Kelantan selepas mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap Agong serta ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di media sosial.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kedua-dua suspek lelaki tempatan berusia 37 dan 34 tahun masing-masing dicekup di negeri itu pada 26 November dan hari ini.
“Suspek pertama disyaki pemilik Facebook ‘Cik Mat Cik Po’ ditangkap pada Ahad di kawasan Kota Bharu, Kelantan kerana memuat naik komentar kecenderungan menghasut bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.
“Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah telah dibenarkan selama empat hari bermula semalam hingga Khamis ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998,”ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, suspek kedua dipercayai pemilik TikTok @jaiadani89 ditahan semalam sekitar Jalan Padang Tembak, Kota Bharu, Kelantan selepas membuat hantaran berbaur ugutan jenayah terhadap Anwar.
“Suspek direman selama tiga hari, mulai hari ini hingga Khamis ini. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 AKMM 1998.
“Kedua-dua kes masih di peringkat siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” jelasnya.
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan selain cakna dan prihatin terhadap isu- isu sensitif terutama melibatkan kegentaran awam dan keselamatan negara melalui media sosial. -KOSMO! ONLINE.