KOTA TINGGI – Sebuah kapal tangki yang berdaftar dari Panama ditahan selepas disyaki berlabuh secara haram di perairan Johor Timur semalam.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, kapal itu ditahan bot ronda Maritim Malaysia pada pukul 11.00 pagi di kedudukan 15.8 batu nautika timur laut Tanjung Penawar.
Katanya hasil pemeriksaan mendapati nakhoda gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh.
“Kapal terbabit dikendalikan oleh 17 orang kru termasuk nakhoda terdiri daripada warga Pakistan, India dan Bangladesh berumur diantara 21 hingga 58 tahun. Kesemua mereka mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Laut Malaysia yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya Maritim Malaysia ingin menegaskan kepada pemilik, pengusaha perkapalan serta nakhoda kapal supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan yang ditetapkan dipatuhi. – KOSMO! ONLINE