fbpx

Mangsa disyaki individu lari dari pusat kuarantin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat terapung tanpa organ dalaman yang ditemui dalam bekas lombong berhampiran Kampung Orang Asli Bukit Dugang, Dengkil pada 10 November lalu disahkan warga asing yang lari dari pusat kuarantin. Foto Ihsan PDRM

SEPANG – Polis mengesahkan mayat lelaki tanpa organ dalaman yang ditemui dalam bekas lombong berhampiran Kampung Orang Asli Bukit Dugang, Dengkil di sini pada 10 November lalu dipercayai warga asing yang lari dari pusat kuarantin Covid-19.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, polis mendapat maklumat daripada sebuah syarikat menyatakan bahawa mayat lelaki yang ditemui dalam kolam lombong adalah berkemungkinan pekerja asing syarikat terbabit.

Beliau berkata, pihak berkuasa sudah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) melalui kedutaan besar negara asal si mati dua minggu lalu.

“Sehingga kini polis masih menunggu pengesahan identiti mangsa menerusi DNA ahli keluarganya di negara asal.

“Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi di sini tengah malam tadi.

Mengulas lanjut, Wan Kamarul Azran berkata, mangsa tiba di negara ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Selepas dua hari menjalani kuarantin, mangsa melarikan diri dari Pusat Kuarantin Hotel Marriot di sini.

“Kemudian mayatnya ditemui terapung tanpa organ dalaman dipercayai dimakan haiwan di dalam bekas lombong itu,” katanya.

Kosmo! pada 12 November lalu melaporkan, mayat mangsa ditemui dalam keadaan meniarap serta tidak berpakaian manakala bahagian organ dalamannya didapati sudah tiada disyaki dimakan ikan atau binatang di lombong berkenaan.

Wan Kamarul Azran dilaporkan berkata, mangsa disyaki meninggal dunia kira-kira lima hari sebelum itu dan tiada dokumen pengenalan dirinya ditemui.

Menurutnya, mayat itu ditemui kira-kira 50 meter dari sebuah kandang lembu dan siasatan awal polis terhadap penduduk Orang Asli mendapati tiada ahli keluarga mereka yang hilang.

“Mangsa dianggarkan berketinggian 178 meter dan seberat 130 kilogram,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI