PETALING JAYA – Seorang remaja lelaki didakwa bertindak mahu menikam pemandu e-hailing menggunakan pisau dalam kejadian dipercayai di sebuah taman perumahan di Sungai Petani, Kedah semalam.
Rakaman kejadian di dalam kereta itu tular di media sosial sejak malam tadi dan berdasarkan waktu terpapar pada video itu, ia berlaku kira-kira pukul 6.20 petang semalam.
Bagaimanapun, pemandu lelaki tersebut berjaya menggenggam tangan remaja dipercayai berusia 13 tahun itu, serta merampas pisau yang digunakan untuk menikamnya.
Berdasarkan video itu, kelihatan pemandu tersebut beberapa kali melakukan pusingan di sebuah taman perumahan selepas diminta remaja tersebut kononnya mahu menghantarnya di lokasi.
“Saya pakai kereta cari duit, bukan ini macam. Saya bukan you punya bapak. Aiya lu ini olang, panas hati you bikin saya.
“Lu itu budak main-main ya. Saya cakap lu jangan main-main,” katanya kepada remaja berkopiah itu selepas diarahkan memandu mengikut tunjuk arah remaja tersebut.
Sebaik berhenti di lokasi yang diberitahu, pemandu tersebut mengeluarkan wang kertas daripada poket bajunya dan pada ketika itulah, remaja yang berada di kerusi belakang mengeluarkan pisau dan mahu menikam dadanya.
Mujur pemandu tersebut sempat menggenggam dan menggigit tangannya serta merampas pisau tersebut, manakala suspek terus keluar daripada kereta dan melarikan diri. – KOSMO! ONLINE
CUBAAN MEMBUNUH BERSENJATA.
Kejadian di Sg Petani, Kedah. Harap2 pisau tu tak tertusuk ke dalam. Allahuakbar. Budak2 lg dah berani. Minit ke 1:10 kalau nak fast forward. Viralkan sampai dapat budak ni. pic.twitter.com/eAWFnOlsMJ
— F L Y (@sungaikelaut) November 27, 2023