fbpx

Penolong jurutera dituduh terima rasuah, palsu dokumen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penolong Jurutera Majlis Perbandaran Kuantan, Syamsul Azrai Yusoff, 41, (kiri) dibawa keluar selepas dituduh di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Oleh MOHD. SHAHRULANOOR ISHAK

KUANTAN – Seorang penjawat awam tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan menerima rasuah dan satu dakwaan memalsukan dokumen.

Mengikut pertuduhan, Syamsul Azrai Yusoff, 41, yang merupakan Penolong Jurutera Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dituduh mendapatkan RM1,000 daripada Yow Kuan Mon di Maybank Jalan Bukit Ubi di sini.

Dia dituduh menerima wang itu pada 20 Mei lalu melalui akaun bank tersebut atas namanya sendiri yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

Pertuduhan kedua pula, Syamsul dituduh menerima amaun yang sama daripada individu sama pada 29 Jun lalu di lokasi yang sama dan mempunyai hubungan tugas rasminya sebagai Penolong Jurutera MPK.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam pertuduhan berasingan, Syamsul turut dituduh menggunakan dokumen palsu iaitu surat Kelulusan Pelan Kerja-Kerja Tambahan Kecil dan surat Kelulusan Pembinaan Bangunan MPK pada sekitar Jun lalu di No. 10 Lorong Seri Teruntum 63 di sini.

Untuk pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sejurus pertuduhan dibacakan, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nadzirah Zahari menawarkan ikat jamin RM5,000 dan tidak dibantah peguam Najmi Dawami Abdul Hamid yang mewakili tertuduh.

Hakim Siti Aminah Ghazali menetapkan jaminan seperti ditawarkan dan 18 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI