KUCHING – Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak memperketatkan kawalan keselamatan ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dijadual menghadiri Forum Perniagaan Islam Global (GMBF) Edisi Kedua di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam esok.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, pihaknya telah mengatur gerak kerja petugas di lapangan melibatkan semua elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menumpukan aspek penugasan merangkumi kawasan keselamatan ke atas VVIP dan orang ramai, kawalan lalu lintas serta pelan tindakan ke atas perkara di luar jangkaan.
“Secara keseluruhan, seramai 559 orang anggota polis terdiri daripada 70 pegawai kanan dan 489 pegawai rendah telah dipertanggungjawabkan dan bersiap siaga untuk menjalankan tugas dalam sepanjang program ini berlangsung,” katanya pada sidang media di IPK Sarawak, hari ini.
Pada Ahad, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung ugutan bunuh ke atas Perdana Menteri itu.
Katanya polis setakat ini telah menerima satu laporan berhubung perkara terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Terdahulu tular di media sosial tangkap layar video yang dimuat naik seorang pengguna TikTok menawarkan RM5 juta kepada sesiapa yang menembak mati Perdana Menteri, menteri dan ahli-ahli sebuah parti politik, namun video berkenaan sudah dipadamkan. – KOSMO! ONLINE