PETALING JAYA – Sime Darby Property mengumumkan komitmen untuk mencapai pelepasan karbon Sifar Bersih menjelang 2050, dengan merujuk kepada sasaran berasaskan sains untuk mengehadkan kenaikan suhu global kepada 1.5 darjah Celsius.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Azmir Merican berkata, pihaknya berhasrat untuk mengurangkan pelepasan karbon Skop 1 dan 2 sebanyak 40 peratus menjelang 2030 dan telah menggariskan beberapa inisiatif bagi mencapai tujuan tersebut.
Ini termasuk memperbaharui asetnya dengan teknologi cekap tenaga dan menggalakkan kakitangan untuk mengamalkan tingkah laku mementingkan penjimatan tenaga, di samping peralihan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui dalam operasi.
“Operasi, produk dan rantaian bekalan adalah elemen yang saling berkaitan dalam ekosistem perniagaan kami dan usaha mengubahnya bukan sekadar satu keperluan, malah merupakan satu peluang.
“Dengan menerima inovasi dan amalan mampan, kami menyelaraskan dengan matlamat alam sekitar dan juga menjadikan syarikat kalis masa depan,” katanya pada majlis pengumuman di sini.
Azmir menambah, perjalanan ke arah sifar bersih bukan hanya mengenai mengurangkan impak, sebaliknya melakukan lebih banyak kebaikan.
“Ia adalah mengenai menerapkan pemikiran penambahbaikan berterusan, melangkaui sempadan dan kepimpinan melalui teladan.
“Gelombang ini adalah lebih daripada sekadar melibatkan Sime Darby Property, sebaliknya ia akan mempengaruhi seluruh industri, memberi inspirasi kepada orang lain untuk turut serta dan secara kolektif menyumbang kepada dunia yang lebih mampan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Kelestarian Sime Darby Property, Yasmin Rasyid berkata, pihaknya bakal mengumumkan pelan untuk mencapai komitmen kelestariannya secara lebih terperinci pada suku pertama 2024.
“Ia akan turut memperincikan angka, peratusan dan sela masa bagi mencapai matlamat ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE