REMBAU – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, hari ini, mengesan kemungkinan berlaku pencemaran sungai susulan kemalangan membabitkan lori tangki muatan diesel di Kampung Sungai Timun, Jalan Lubok China-Linggi, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, pihaknya menerima aduan sekitar pukul 11.30 pagi memaklumkan terdapat lori minyak terbalik dan dikhuatiri tumpahan mengalir masuk ke Sungai Timun.
Menurutnya, semakan mendapati aliran air dari Sungai Timun mengalir ke Sungai Rembau seterusnya Sungai Linggi dan ke laut.
“Bagaimanapun, tiada Logi Rawatan Air (LRA) di sepanjang aliran tersebut. Kerja-kerja pemasangan ‘oil boom’ yang dibekalkan oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) sedang dijalankan oleh pihak Badan Kawal Selia Air (BKSA) bagi tujuan pencegahan aliran minyak ke sungai,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE