PETALING JAYA- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengusir dua bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara kira-kira 71 batu nautika barat laut Pulau Jarak pukul 6.45 petang semalam.
Dalam satu kenyataan, TLDM berkata, Kapal Diraja (KD) Mahawangsa yang sedang melaksanakan Ops Benteng Laut, Ops Pejarak dan rondaan di Selat Melaka menerima maklumat daripada pesawat Maritim Malaysia (APMM) yang mengesan beberapa bot nelayan di sekitar 46 batu nautika barat laut Pulau Jarak.
“KD Mahawangsa seterusnya belayar menuju ke lokasi tersebut dan mendapati dua buah bot nelayan asing yang tidak memiliki nombor pendaftaran dan mengibarkan bendera Indonesia berada di posisi yang dikesan pada pukul 5.49 petang.
“KD Mahawangsa seterusnya mengusir dua bot tersebut dengan mengiringi bot-bot tersebut sehingga keluar dari
perairan negara pada pukul 6.45 petang,” katanya hari ini.
Ujarnya, TLDM sentiasa memperkasakan Ops Benteng Laut bersama pelbagai agensi maritim lain di bawah National Task Force bagi memperkukuhkan sempadan perairan negara daripada dicerobohi pendatang asing tanpa izin. -K! ONLINE