PENGENDALI Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Nafuzi Zain menegaskan peluang pasukannya untuk mengintai slot ke saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada musim depan masih lagi terbuka.
Bagaimanapun katanya, pertemuan dengan Selangor FC di Stadium Darul Aman pada 2 Disember ini bakal menjadi titik penentu buat kedua-dua pasukan.
“Sekarang ini perebutan kedudukan kedua liga antara KDA dan Selangor. Kita akan turun sebagai tuan rumah ketika menentang Selangor pada minggu hadapan dan bagi saya itulah titik penentunya.
“Bagaimanapun, segalanya akan dimuktamadkan selepas perlawanan terakhir liga sama ada KDA berjaya mencipta kemenangan ke atas Selangor atau tidak,” katanya ketika ditemui selepas Perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu kelmarin.
Walaupun merasakan Selangor mempunyai kelebihan berbanding pasukan kendaliannya, Nafuzi tetap optimis Sang Kenari mampu melebarkan sayapnya ke pentas ACL pada musim depan.
“Kerana itu kita perlu kekal konsisten untuk baki dua perlawanan nanti. Sifirnya senang sahaja, menang kedua-dua perlawanan dan kita layak ke ACL. Semuanya bergantung kepada pasukan kita sendiri. Jadi kita kena ‘all out’,” katanya.
Mengulas perlawanan kelmarin, jurulatih kelahiran Kelantan itu memberitahu beliau sebenarnya tidak mengutamakan jumlah jaringan yang berjaya dicetak kerana tumpuan utama adalah untuk mencari tiga mata penuh biarpun meraih kemenangan 6-1.
Beliau juga tidak merasakan pertemuan dengan Kelantan malam tadi sebagai perlawanan yang mudah kerana beliau cukup faham sikap barisan pemain Kelantan FC apabila bermain di tempat sendiri.
Kemenangan ke atas Kelantan FC itu menyaksikan KDA FC terus mengambat kedudukan Selangor FC yang kini hanya dibezakan dengan dua mata selepas Hijau Kuning berjaya mengumpul 53 mata.