JOHOR Darul Ta’zim (JDT) membawa harapan penyokong negara untuk cuba menebus kekalahan pada aksi pertama kepada Kawasaki Frontale apabila bakal turun pada perlawanan timbal baik Kumpulan I di Stadium Kawasaki Todoroki petang ini.
Kekalahan tipis 0-1 pada perlawanan pertama kumpulan di Stadium Sultan Ibrahim September lalu juga membakar semangat Harimau Selatan untuk cuba bangkit mengejutkan gergasi Jepun berkenaan.
Pengendali JDT, Esteban Solari menegaskan perhitungan kali ini pastinya berbeza dan anak buahnya begitu bermotivasi untuk beri saingan bagi menghadirkan keputusan positif.
“Untuk aksi kali ini, barisan pertahanan kami kena lebih ampuh untuk cuba menutup ruang dan cuba cipta peluang. Sudah pasti kami kekal yakin untuk cuba beraksi lebih baik,” katanya.
Kemenangan 2-1 ke atas kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai 7 November lalu terus menghidupkan peluang JDT layak ke pusingan kalah mati yang menyaksikan juara Liga Super itu kini menghuni tangga ketiga kumpulan dengan enam mata.
Berbicara mengenai keadaan cuaca yang mungkin sedikit sejuk di negara Matahari Terbit itu, Solari kekal positif dan tidak merasakan ia akan beri kesan besar kepada corak permainan yang bakal diterapkan nanti.
“Kami datang ke Jepun lebih awal untuk segera sesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan saya dapat lihat pemain tidak ada masalah ketika jalani latihan. Mereka juga faham, sedar situasi dan keadaan cuaca yang bakal mereka hadapi nanti.
“Malah, pemain dari skuad kebangsaan juga sudah biasa ketika bermain (dalam cuaca sejuk) di Taiwan,” katanya.