JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengukuhkan penjenamaan di peringkat antarabangsa selepas diumumkan berada di kedudukan ke-39 universiti terbaik Asia oleh Quacquarelly Symonds (QS) University Rankings 2021, baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor UTM (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail yang menjalankan fungsi Naib Canselor berkata, kedudukan baharu itu menyaksikan UTM meningkat tujuh tangga berbanding sebelum ini.
Katanya, UTM menerima markah terbaik dalam indikator Jaringan Kajian Antarabangsa yang mengukur keterbukaan universiti ini melakukan kajian melalui kerjasama di peringkat antarabangsa.
“Pencapaian UTM dalam QS University Rankings 2021: Asia itu adalah yang terbaik sehingga kini, sejak UTM mula menerima penarafan QS pada 2012.
“Kenaikan ini mengambil kira pelbagai faktor seperti program akademik yang ditawarkan, jumlah enrolmen mahasiswa, jaringan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan juga kerjasama dengan pihak industri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Ahmad Fauzi turut memberitahu, UTM akan memastikan ekosistem akademik dan penyelidikan serta sistem penyampaian di peringkat universiti sentiasa diperkemas bagi memastikan universiti itu kekal relevan sebagai sebuah Universiti Penyelidikan kepada masyarakat, negara dan dunia.
“Universiti perlu sentiasa bergerak aktif dan berinovatif dalam memastikan pengiktirafan yang diberi adalah relevan.
“Pentingnya untuk sesebuah universiti melahirkan produk penyelidikan yang memberi perubahan dan dari situ dapat memberi impak serta kesan kepada kehidupan seharian manusia.
“Selain itu, kebolehan pasaran graduan melalui aspek kemahiran dan kecekapan serta menepati keperluan industri juga perlu dititikberatkan,” ujarnya.-K! ONLINE