JOHOR BAHRU – Syarikat Mariyah Holdings Sdn. Bhd. menafikan dakwaan beberapa usahawan pakaian yang mengatakan syarikatnya adalah ‘scammer’ dalam penjualan baju.
Pengurus Besar yang juga konsultan Mariyah Holdings, Nor Ashiqin Jamaludin berkata, pihaknya menjual pakaian (produk) dengan terma dan syarat yang dipersetujui kedua belah pihak.
Katanya, bukan menjadi tanggungjawab pihak syarikat untuk memastikan jualan yang telah dibeli peniaga, terjual sepenuhnya.
“Ini adalah fitnah, kita bukan scammer. Kita menjual pakaian dan mereka membeli. Kita sudah memberikan pakaian kepada peniaga dan mendapat bayaran yang sewajarnya.
“Jika pakaian yang kami jual ada terdapat kerosakan, ye itu dalam terma dan syarat boleh dipulangkan dan kami perbaiki. Tetapi jika peniaga hendak pulangkan atas sebab pakaian itu tidak terjual, tidak boleh dalam terma dan syarat yang dipersetujui.
“Sebagai pembekal pakaian, kami telah membuat perkara yang sewajarnya dengan membuat promosi reka bentuk baju tersebut. Adalah atas usaha peniaga sendiri untuk menjual produk mereka. Jika kami adalah scammer, kami tiada kilang untuk dituju oleh peniaga sekiranya terdapat masala, malah pakaian juga tidak akan diberikan,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar permohonan maaf oleh Pengasas dan Pempengaruh Mariyah Holdings, Mariyah Yaakob di premisnya di Skudai di sini, hari ini.
Selepas video yang tular Mariyah yang mendakwa orang Melayu malas, terdapat beberapa peniaga dan usahawan yang mendakwa mereka ditipu syarikat terbabit yang dikatakan bersikap ‘lepas tangan’.
Sementara itu, peguam yang mewakili Mariyah Holding, Sharifuddin Liwan berkata, pihaknya dalam perbincangan untuk mengambil tindakan terhadap individu yang menyebabkan penyebaran kandungan palsu.
Namun berharap isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik.
“Saya percaya permohonan maaf dibuat dengan iklas kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu yang terguris hati dengan apa yang berlaku. Saya berharap dengan permohonan maaf ini akan menoktahkan segala isu dan kontroversi yang berlaku.
“Saya harapkan kepada netizen supaya menghentikan segala video, atau memuatnaik video atau hantaran di media sosial, kerana jika ia masih lagi berlaku (penyebaran) mereka akan terdedah kepada tindakan undang-undang.
“Kami masih berbincang dengan syarikat berhubung tindakan yang akan pihak kami ambil terhadap mereka yang berkenaan,”katanya.-KOSMO! ONLINE