JOHOR BAHRU – Syarikat jahit pukal Mariyah Holdings Sdn. Bhd. tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia bagi selesaikan kemelut dakwaan Melayu malas yang sedang dihadapinya ketika ini.
Usahawan dan pempengaruh media sosial, Mariyah Yaacob, 49, berkata, video yang tular itu adalah dibuat untuk meningkat motivasi kepada masyarakat.
“Tujuan saya memanggil semua media adalah untuk membuat permohonan maaf secara terbuka.
“Bagi pihak saya Mariyah Yusof dan pihak syarikat (Mariyah Holdings Sdn. Bhd.) memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan seluruh bangsa-bangsa Melayu atas kekhilafan saya dan keterlanjuran kata-kata saya.
“Sejujur-jujurnya jauh disudut hati saya nak menghina mana-mana bangsa, 100 peratus (video di TikTok) dibuat sebagai motivasi,”katanya pada sidang akhbar di Skudai di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai dakwaan pihak syarikat tidak mencarumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Skim Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) Mariyah enggan mengulas lanjut.
Sebaliknya, wanita itu meminta supaya individu terbabit (bekas pekerja) tampil membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
“Saya rasa tidak menjawab soalan itu, sebab apa sebab saya ada management (pengurusan) yang menguruskan KWSP, Socso (Perkeso) dan kalau benar pihak Mariyah Holdings tidak membayar, diorang (mereka) boleh tujukan aduan mereka kepada JTK, itu lebih arif,”katanya.
Sementara itu, Mariyah turut enggan mengulas mengenai dakwaan mengajikan pekerja asing tanpa permit oleh syarikatnya.
Dalam pada itu, anak kepada Mariyah, Ezuan Hafsham Mohd Hisyam turut mengakui kekhilafan berhubung isu yang sedang melanda.
Menurutnya yang merupakan Pengarah Syarikat Mariyah Holding, video yang dibuatnya adalah ditujukan kepada bekas pekerjanya.
“Saya dengan rendah hati dan terbuka memohon ampun maaf kepada semua seluruh rakyat Malaysia khususnya bangsa Melayu.
“Sekiranya video dimuatnaik oleh saya, itu adalah perbalahan saya dengan bekas pekerja yang telah timbulkan lebih banyak spekulasi dan lebih banyak fitnah, saya mohon maaf banyak-banyak,”katanya.
Ezuan Hafsham, 22, turut berjanji akan bertindak lebih matang pada masa akan datang dan berharap perkara ini boleh dihentikan.-KOSMO! ONLINE