KUALA LUMPUR – Program Rakan Muda yang diberi nafas baharu sesuai dengan gaya hidup terkini golongan belia mendapat sambutan memberangsangkan sejak ia dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Jun lalu.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Adam Adli Abd Halim berkata, setakat 14 november 2023, sebanyak 3,947 aktiviti Rakan Muda telah dilaksanakan melibatkan penyertaaan 1,078,674 belia di seluruh negara.
“Jumlah ini sekaligus melepasi sasaran penyertaan program Rakan Muda seramai 1 juta belia pada tahun ini. Antara gaya hidup yang mendapat sambutan hangat oleh anak muda adalah Rakan Aktif, Rakan Demokrasi, Rakan Mahir, Rakan Prihatin dan juga Rakan Digital,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai kejayaan program-program Rakan Muda setakat ini dan bagaimana ia membantu menyatupadukan masyarakat dan memerangi ekstremisme isu agama, raja dan kaum (3R) dalam negara.
Adam Adli berkata, KBS akan terus menjadikan Rakan Muda sebagai program utama dalam memperkasakan pembangunan diri belia selain menyemai gaya hidup positif dalam kalangan anak muda.
Menurut beliau, KBS sedang merancang pelbagai aktiviti yang lebih baik dan menyeluruh termasuk memperkasakan Rakan Muda di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan akar umbi,
Kata beliau, pada masa ini terdapat sebanyak 56 sekretariat Rakan Muda di IPT dan 107 kelab Rakan Muda yang aktif di seluruh negara.
Dalam pada itu, katanya, program Rakan Muda dianggap sebagai sebuah platform untuk menyatupadukan golongan belia negara dan KBS tidak mahu ia dicemari dengan perseteruan politik.
“Kita tahu suhu politik dalam negara sentiasa menggelegak panas. Kita tidak mahu golongan belia terikut-ikut, tetapi kita tidak menghalang sebarang bentuk pandangan kritikan dan dialog dalam kalangan mereka.
“Sebab itu dalam Rakan Muda ada program bersifat dialog supaya ada pandangan berbeza boleh diletakkan dalam satu tempat yang boleh dibincangkan secara sihat.
“Kita harap golongan belia boleh mengambil nilai-nilai positif daripada program ini sebagai pegangan dalam hidup mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE