fbpx

Konflik Palestin-Israel: Kumpulan ketiga tahanan bebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang tahanan Palestin memeluk ibunya selepas dibebaskan dari penjara Israel di Ramallah, Tebing Barat semalam. – AFP

BANDAR GAZA – Gencatan senjata rapuh antara Israel dan Hamas diteruskan dengan kumpulan pejuang Palestin tersebut membebaskan 17 lagi tahanan termasuk 14 penduduk Israel bersama  seorang warganegara Amerika Syarikat (AS) semalam, lapor akhbar Arab News.

Sebagai pertukaran, Israel pula membebaskan 39 tahanan Palestin dengan kesemua mereka terdiri daripada lelaki muda.

Perkembangan positif itu berlaku pada  hari ketiga gencatan senjata selama empat hari dengan Washington menyatakan, pihaknya berharap jeda kemanusiaan itu dapat dilanjutkan.

Pertukaran tahanan pusingan keempat dijangka dilakukan hari ini yang merupakan hari terakhir gencatan senjata.

Mengikut perjanjian awal, seramai 50 tebusan Israel dan 150 tahanan Palestin akan dibebaskan oleh kedua-dua pihak dengan sebahagian besar mereka terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Pengantara antarabangsa diketuai oleh AS, Mesir dan Qatar masih berusaha untuk melanjutkan gencatan senjata itu yang bermula pada Jumaat lalu.

Hamas juga memaklumkan bahawa pihaknya akan cuba melanjutkan perjanjian gencatan senjata tersebut dengan membebaskan lebih ramai tebusan.

Sementara itu, jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari berkata, Rejim Zionis tidak menolak untuk melanjutkan tempoh gencatan senjata jika Hamas membebaskan lebih ramai tebusan.

Israel sebelum ini menyatakan bahawa  gencatan senjata sekarang  boleh dilanjutkan selama sehari untuk setiap tambahan 10 tebusan yang dibebaskan, namun akan menyambung semula serangan sejurus tempoh jeda berakhir. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI