MENYEDARI Islam menggalakkan umatnya bekerja sendiri atau menjalankan perniagaan, siswa Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) memilih untuk menjual buah-buahan berhampiran Terinai Lakeview Resort, Tasik Timah Tasoh, Perlis, baru-baru ini.
Dua pelajarnya, Ade Setiawan Ahmad Royani, 24, dan Usamah Rusmayadi, 24, mengambil peluang menceburi bidang perniagaan yang dimiliki oleh rakan ibu angkat mereka dari Kedah.
Bagi mereka, kebanyakan orang yang berjaya dalam hidup adalah golongan yang menjalankan perniagaan.
Mereka bernada bahawa ramai dalam kalangan usahawan adalah daripada golongan miskin atau sederhana.
Menurut pelajar semester kedua Diploma Syariah, Ade Setiawan, peluang berniaga buah-buahan itu secara tidak langsung dapat memupuk semangat keusahawanan dalam dirinya.
“Meskipun hanya membantu berniaga, namun kami berasa amat berharga.
“Ia menjadi pengalaman terbaik yang mungkin tidak dapat dirasai oleh semua orang.
“Ini kerana, kami bukan sahaja dapat upah daripada hasil perniagaan, tetapi yang penting mengambil pengalaman dan dapat berkomunikasi dengan penduduk setempat,” ujarnya.
Tambahnya, perniagaan boleh dilakukan dengan 1,001 cara dan dijalankan pada bila-bila masa meskipun bergelar penuntut.
“Menerusi jalinan dan hubungan serta aplikasi media sosial, mudah bagi semua orang mencari peluang.
“Kami bukan sahaja dapat mencari pendapatan tambahan ketika cuti hujung minggu atau semester, malah berpeluang menjana kewangan untuk diri sendiri bagi meningkatkan ekonomi keluarga.
“Pengurusan KUIPs telah menaja kami untuk pengajian dan menyediakan wang perbelanjaan setiap bulan.
“Namun, kami perlu berusaha mempelajari dan menunjukkan bahawa pelajar kolej juga aktif dalam bidang keusahawanan,” katanya lagi.
Bagi seorang pembeli yang berkesempatan singgah ke gerai buah-buahan tempat kedua-dua siswa itu bekerja, Roziana Saad menyifatkan pemuda tersebut kelihatan sangat berpengalaman dan tidak kekok melayan pelanggan.
“Ketika saya berhenti untuk membeli buah durian, saya terkejut dengan cara layanan dan kemesraan dua remaja ini melayan pelanggan dengan begitu sopan santun.
“Tidak sekadar menyatakan jenis buah-buahan yang dijual, mereka turut membantu untuk memilih buah durian yang elok dan baik isinya.
“Semoga dua pelajar ini berjaya dalam bidang pengajian masing-masing.
“Malah, asbab pengalaman perniagaan ini mungkin dapat membantu mereka menjadi usahawan berjaya pada suatu hari nanti,” katanya.