fbpx

Banjir Bukit Tinggi berpunca aktiviti guna tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar kejadian banjir kilat di Bukit Tinggi semalam.

PETALING JAYA – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) tidak menolak kemungkinan punca banjir puing di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang, semalam akibat daripada aktiviti guna tanah di bahagian hulu saliran.

Menjelaskan perkara itu, Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, aktiviti itu telah menjadi penyumbang kepada kadar hakisan tanah yang tinggi melalui aktiviti pembukaan tanah untuk pertanian dan penggunaan sistem saliran tanaman yang tidak sesuai berdasarkan kepada bentuk dan kecerunan.

Jelasnya, hujan lebat juga menyebabkan hakisan dan ketidakstabilan di bahagian hulu saliran seterusnya menyumbang kepada kejadian kepala air yang membawa batu-batu dan enapan hingga menyebabkan lintasan jalan yang dibina tersumbat dan aliran Sungai Tanglir melimpah ke jalan.

“Kerja-kerja penyelenggaraan sungai serta pembersihan sisa batuan dan enapan di kawasan bencana dilaksanakan segera oleh pihak kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Tindakan segera ini dijangka mengambil masa lebih kurang satu bulan kerana ia melibatkan pengalihan batuan besar dan semua enapan di dalam aliran sungai,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, langkah mitigasi jangka panjang turut dicadangkan termasuk pelaksanaan kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) daerah Bentong yang meliputi kawasan bencana tersebut.

Bagaimanapun katanya, bagi tindakan segera pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) akan mengenal pasti serta menandakan zon bahaya serta zon kawalan di tapak kejadian.

“Ia bagi membantu agensi responder (agensi tindak balas) serta agensi pelaksana dalam menjalankan mitigasi cerun, mengenal pasti elemen berisiko serta ancaman berlakunya runtuhan susulan.

“Pihak JMG juga akan menjalankan pemetaan tapak bagi menandakan cerun yang yang telah runtuh dan berpotensi runtuh berdasarkan tanda-tanda ketidakstabilan serta mengenal pasti faktor yang mungkin menyumbang kepada kejadian aliran puing tersebut,”ujarnya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam tadi, banjir puing di Bukit Tinggi itu berlaku disebabkan oleh hujan selama tiga jam dalam keamatan sederhana iaitu antara 23.5mm hingga 53mm.

Beberapa buah rumah, premis perniagaan dan jalan raya berhampiran dinaiki air dengan purata kedalaman kawasan 0.3-0.6m. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI