KUALA TERENGGANU – Cuaca yang semakin baik membolehkan ramai mangsa banjir pulang untuk membersihkan rumah masing-masing semalam.
Tinjauan Kosmo! di beberapa taman perumahan dan perkampungan di bandar raya ini semalam mendapati, rata-rata penduduk terjejas sibuk menjemur pakaian dan karpet yang terendam dalam banjir sebelum ini.
Seorang tukang jahit, Sasuhaida Sulaiman, 39, berkata, dia hiba apabila banyak kain ela tempahan pelanggannya basah terkena banjir yang berlaku pada Isnin minggu lalu.
“Saya tidak sempat alihkan kain ela yang belum dijahit ke tempat tinggi kerana rumah tiba-tiba dinaiki air.
“Lagipun rumah saya tidak pernah dilanda banjir sebelum ini. Mujur pelanggan saya memahami,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Atap Tol, di sini semalam.
Tambahnya, dia yang baru pulang selepas enam hari menghuni pusat pemindahan sementara (PPS) mula membasuh semula kain ela yang kotor pada pukul 8 pagi.
Seorang penduduk, Haslina Abdul Razak, 34, pula mengambil kesempatan cuaca cerah semalam untuk membersihkan peralatan dapur seperti pinggan, mangkuk dan periuk miliknya yang ditenggelami banjir sebelum ini.
“Nasib baik banjir kali ini tidak membawa lumpur, mudah untuk bersih pinggan mangkuk. Bagi karpet pula, saya cadang untuk mencucinya di dobi layan diri,” ujarnya.
Sementara itu, mangsa banjir yang masih ditempatkan di PPS di Terengganu tinggal 515 orang daripada 118 keluarga setakat petang semalam.
Enam daerah yang masih terjejas ialah Kuala Terengganu, Besut, Dungun, Marang, Kuala Nerus dan Setiu.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Kuala Terengganu kekal daerah paling terjejas dengan 196 mangsa daripada 51 keluarga berada di dua PPS.
Rabu lalu, Kosmo! melaporkan, seramai 2,751 mangsa daripada 735 keluarga di Terengganu terpaksa berpindah ke PPS akibat banjir.