BEIJING – Seorang janda berusia 67 tahun membuktikan bahawa dia masih belum terlambat untuk mencari cinta apabila menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki berumur 74 tahun yang ditemuinya dalam program mencari jodoh di televisyen.
Portal berita South China Morning Post melaporkan, wanita bernama Luo Lijuan, dari Chongqing, barat daya China itu telah mengiklankan dirinya dalam program mencari jodoh pada Ogos lalu.
Pada bulan ini, Lijuan membawa teman lelaki baharunya ke rancangan tersebut untuk mengucapkan terima kasih kerana mempertemukan mereka.
Lijuan ialah seorang balu yang memiliki seorang anak perempuan yang sudah berkahwin. Hobinya adalah memuat naik gambar dirinya di aplikasi Douyin menggunakan akaun ‘Nenek Cantik’.
Menurut wanita tersebut, gaya fesyennya yang unik dan keperibadiannya yang luar biasa menjadikan dirinya kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenar.
Menerusi iklan yang disiarkan di televisyen, Lijuan berjaya menarik minat lebih 200 lelaki dengan sebahagian daripada mereka berusia 50-an.
Teman lelakinya, Qi, ialah lelaki kesepuluh yang menghubunginya. Pasangan itu merancang untuk mendaftar perkahwinan sebelum Festival Musim Bunga pada Februari tahun depan. – AGENSI