KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung penularan sebuah video di TikTok yang menawarkan habuan RM5 juta kepada individu yang membunuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan berhubung kejadian itu sedang berjalan dan maklumat lanjut akan dimaklumkan kelak.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya kepada Kosmo!
Terdahulu, tular di media sosial tangkap layar video yang dimuat naik seorang pengguna TikTok ‘Jaiadani89’ yang menawarkan RM5 juta kepada sesiapa yang menembak mati Perdana Menteri, menteri dan ahli-ahli sebuah parti politik.
Bagaimanapun, video berkenaan difahamkan telah dikeluarkan daripada platform media sosial berkenaan.
Sehubungan itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) membuat laporan polis susulan tindakan seorang individu yang membuat ugutan tersebut di media sosial.
Timbalan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim dilaporkan berkata, tindakan itu dilihat seolah-olah ingin mencabar pihak berkuasa.
Kamil turut menyifatkan tindakan tidak bertanggungjawab itu tidak menjaga sensitiviti agama dan kaum. – KOSMO! ONLINE