VALENCIA – Selepas pasukan Mooney VR46 Racing mengesahkan pelumbanya, Luca Marini akan menyertai pasukan lain tahun depan, tiga nama kini dikaitkan untuk menyertai pasukan milik legenda MotoGP, Valentino Rossi tersebut.
Marini dijangka menyertai pasukan Repsol Honda untuk mengambil alih tempat yang ditinggalkan Marc Marquez selepas juara dunia MotoGP enam kali itu membuat keputusan menyertai keluarga Itali, Gresini Racing.
Kini, Fabio Di Giannantonio yang hilang tempat bersama Gresini Racing dijangka menyertai VR46 tetapi dua pelumba Moto2, Tony Arbolino dan Fermin Aldeguer dari Itali turut berada dalam radar untuk menyertai pasukan kendalian Uccio Salucci.
“Luca (Marini) adalah seorang profesional dan dia seorang pelumba yang pekerja keras untuk mendapatkan keputusan terbaik setiap kali turut ke litar perlumbaan.
“Kami minta maaf kerana melepaskannya, dia akan menjadi lawan yang sukar pada masa hadapan. Saya mendoakan yang terbaik buatnya pada musim depan,” kata Salucci.
Kelmarin, VR46 mengesahkan Marini akan menyertai perlumbaan terakhir bersama mereka di Grand Prix (GP) Valencia dan pengumuman rasmi antara Marini dan Repsol Honda akan dibuat tidak lama lagi.
“Apabila anda kehilangan pelumba seperti Luca pada November ia adalah pilihan yang sukar. Kami perlu berbincang dan berbincang dengan pasukan yang berbeza.
“Pilihan kami bukan sahaja Aldeguer, terdapat lebih banyak pelumba dan pasukan. Tony Arbolino juga salah satu calon terbaik dan dia cepat dan orang Itali. Tetapi, ada lagi beberapa nama lain dalam perhatian kami,” kata Salucci. – AGENSI