PETALING JAYA – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) merampas kejuaraan Karnival Bola Sepak 7 sebelah (7s) antara Institusi Pendidikan Tinggi di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang hari ini.
Dua jaringan oleh Nurul Arliana Nabila Mohd. Ramdhan pada aksi final membolehkan UPNM menumpaskan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2-0 untuk merangkul kejuaraan sulung buat mereka kali ini.
Antara faktor kejayaan UPNM adalah mereka diperkuatkan dengan kehadiran sekurang-kurangnya lima pemain kebangsaan termasuk kapten Nur Adrienna Zamzaihiri.
Ia sekali gus menyaksikan UPNM sukar digugat dan berjaya menebus kehampaan edisi lalu apabila perjalanan mereka tersekat di peringkat separuh akhir.
UPSI yang turut diperkukuhkan dengan khidmat pemain kebangsaan, Nurfarisya Hanim dan Nabila Shahirah terpaksa berpuas hati dengan kejayaan naib juara kali ini selepas terkandas di separuh akhir musim lalu.
UPNM selaku juara menerima hadiah wang tunai berjumlah RM4,000, manakala UPSI membawa pulang RM3,000 yang disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Pekan Ramli.
Turut menaiki podium adalah Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang meraih RM2,000 selepas menewaskan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) pada penentuan tempat ketiga dan keempat.
Sementara itu, pemain terbaik kejohanan menjadi milik tonggak UPNM, Nurul Arliana Nabila, manakala Nur Dhia Addin Mohd. Azhari dari SSMP dinobatkan selaku penjaring terbanyak dengan 12 gol. – KOSMO! ONLINE