fbpx

Dua wakil Pantai Timur mara ke final PERR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN aksi menarik separuh akhir kedua PERR antara Selangor dan Pahang di Stadium UiTM, semalam. - UITM United

KUALA LUMPUR – Dua wakil Pantai Timur, Pahang dan Terengganu mengesahkan tempat ke pentas final Piala Emas Raja-Raja (PERR) edisi ke-101 yang dijadualkan berlangsung 10 Disember ini.

Selesai separuh akhir kedua, semalam, Pahang tewaskan Selangor 4-2 pada penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 secara agregat manakala Terengganu mara selepas singkirkan Kedah 3-1.

Bagi menghidupkan aura pertandingan, Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) sudah pun mula mengorak langkah apabila memperkenalkan laman sesawang rasmi dan bakal menggunakan platform media sosial bagi merapatkan diri dengan generasi lebih muda.

Presiden PBMM, Mohd Firdaus Mohamed, berkata pihaknya enggan ‘ditelan’ kepesatan teknologi masa kini sebaliknya kekal relevan untuk berjalan seiring dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam usaha mencungkil lebih ramai bakat muda.

“Sekarang ini kesedaran sudah bermula dikalangan pemain muda, yang tinggal sekarang adalah aspek promosi. Jadi ini adalah medium terbaik dan PBMM masih lagi dianggap relevan dalam bola sepak negara walaupun sudah ada pertandingan bertaraf profesioal.

“Kita mahu lahirkan pemain kerana sebelum ini Syafiq Ahmad, Safawi Rasid dan Akhyar juga pernah bermain di peringkat Piala Emas Raja-Raja. Kita kena kekal aktif dan saya yakin orang akan kembali sokong Piala Emas Raja-Raja dan Piala Agong,” katanya pada Majlis Pelancaran Laman Sesawang dan Media Sosial PBMM, semalam.

Sementara itu, Naib Presiden PBMM, Datuk Mohd Aqliff Shane Abdullah yang bertanggungjawab beri ‘nafas baharu’ kepada persatuan ini akui kepentingan untuk pihaknya mendekatkan diri dengan generasi lebih muda.

Mohd Aqliff menjelaskan pelbagai perancangan sudah diatur dan turut bercadang untuk menyiarkan aksi final PERR di platform media sosial sekaligus memperkenalkan kewujudan pertandingan ini.

“Kita nak kembangkan lagi peminat dan perkenalkan sejarah persatuan serta Piala Emas Raja-Raja yang sudah memasuki edisi 101. Kita nak timbulkan minat generasi muda terhadap bola sepak dan langkah ini dibuat kerana kebanyakan anak muda sekarang sentiasa dekat dengan teknologi masa kini.

“Jadi apabila kita dapat maklum balas daripada mereka, kita pun boleh kembangkan lagi dan perbaiki segala kelemahan yang ada,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI