PETALING JAYA – Putera Monaco, Putera Albert II selamat tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan negara pertama selama empat hari.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar dan Duta Besar Malaysia ke Perancis Mohd Zamruni Khalid menyambut ketibaan Putera Albert II dan delegasinya.
V. Sivakumar dalam satu kenyataan berkata, pesawat khas yang membawa Putera Albert II dan delegasi baginda termasuk Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Monaco Isabelle Berro-Amadei, serta pegawai kanan dan komuniti perniagaan, mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11 pagi tadi.
“Lawatan Putera Albert Il bakal memberi peluang terbaik bagi Malaysia dan Monaco memperkukuh hubungan kedua-dua negara, dengan pelbagai prospek kerjasama masa hadapan yang disokong di peringkat tertinggi kepimpinan negara,” jelasnya.
Baginda dijadual merasmikan Pejabat Konsul Kehormat Monaco yang pertama di Malaysia dan melawat Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur.
Esok, Putera Albert II dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan diberi sambutan negara di Istana Negara.
Sultan Abdullah juga akan menganjurkan Majlis Santapan Negara bagi meraikan Putera Albert II dan delegasinya.
Selain itu, Putera Albert II dijadualkan menghadiri Forum Ekonomi Monaco 2023 di Kuala Lumpur.
Sebelum berlepas pulang pada Rabu ini, baginda turut dijadualkan melawat Pusat Konservasi Harimau Malaya dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Pahang. – KOSMO! ONLINE.