PETALING JAYA – Penyanyi asal lagu Lemak Manis, Roslan Madun meluahkan rasa terharu lagu tersebut tular selepas 21 tahun.
Roslan dalam satu hantaran di Facebook berkata, lagu rakyat tersebut sudah mula dinyanyikannya sejak tahun 1980 bagaimanapun hanya diterjemah dalam bentuk album pada dan mula disiarkan oleh stesen radio pada tahun 2002.
Katanya, perlu diakui TikTok memang sangat berkesan dan merupakan faktor terbesar ‘Lemak Manis’ kian tular.
“Walaupun video berdurasi seputar satu minit, ternyata TikTok seperti sebutir peluru yang laju. Sebaik saja dimuat naik dengan tanda pagar dan corak kandungan yang sesuai, lalu seluruh dunia dapat melihat dan menikmatinya.
“Saya selaku individu yang memperjuangkan lagu rakyat ini sejak sekian lama, ingin mengucapkan terima kasih setinggi-tingginya kepada semua yang telah memuat naik klip lagu Lemak Manis (walau dengan pelbagai genre dan rentak) ke akaun mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Roslan berkata, dia juga berasa terhutang kepada sesiapa sahaja yang telah menyanyikan semula lagu berkenaan.
“Kepada yang telah membuat ‘cover’ lagu ini tidak kira di Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan ada sejauh Serbia melalui Dijana Stena (rujuk video), saya amat-amat terhutang budi.
“Lagu rakyat adalah akar budaya kita. Maka kita perlu sama-sama pegang kukuh akar ini, supaya ia menjadi tunjang kekuatan bangsa,” ujarnya.
Roslan turut berkongsi perjalanan lagu-lagu rakyat nyanyiannya yang dikatakan agak perlahan untuk sampai kepada masyarakat satu ketika dahulu.
“Ketika projek rakaman, saya mengambil pendekatan kreatif dengan menggunakan gubahan muzik sama seperti lagu-lagu genre lain. Kerana saya berpendapat bahawa lagu rakyat yang asalnya tanpa muzik, hanya diiringi oleh rebana atau gendang, perlu diberi inovasi.
“Dalam erti kata lain, saya menggunakan apa juga teknologi yang ada masa itu. Dengan harapan supaya lagu rakyat dapat masuk ke arus perdana. Maka lahirlah album pertama saya itu yang mengandungi 10 buah lagu rakyat, termasuk lagu Lemak Manis,” katanya.
Roslan berkata, dengan cara itu lagu rakyat akhirnya dapat disiarkan di corong radio seperti lagu-lagu lain.
“Tetapi kelemahan pemasaran saya ketika itu menyebabkan lagu rakyat agak perlahan sampai kepada masyarakat.
“Album (CD) pertama itu tidak saya jual di pasaran awam. Saya hanya menghantarnya ke Pahang FM, Radio Klasik dan THR Gegar Pantai Timur. Maka hanya tiga stesen radio itulah yang pada awalnya menyiarkan lagu-lagu saya,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE.