fbpx

Lagi anggota PGA cedera ditembak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

BUKIT KAYU HITAM –  Seorang lagi anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA)  Bidor cedera akibat terkena tembakan ketika bertugas di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu, anggota berusia 26  tahun itu mengalami kecederaan melecet pada perut.

Kejadian berlaku ketika anggota tersebut membuat rondaan di sektor pos M16 hingga Markas Taktikal BKH.

Difahamkan, tembakan menggunakan senapang angin itu dilepaskan dari arah negara jiran berhampiran pagar keselamatan.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, anggota terbabit membuat laporan di Balai Polis Bukit Kayu Hitam kira-kira pukul 8 malam ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Tambahnya, pihaknya masih menyiasat sama ada kes tersebut mempunyai kaitan dengan kejadian tembakan yang berlaku di Padang Besar, Perlis.

Kosmo! hari ini melaporkan seorang anggota PGA maut ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan 13 penyeludup ketum dan ubat batuk di kawasan hutan berhampiran pos sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi itu, Koperal Baharuddin Ramli, 54, daripada Batalion 3 PGA Bidor meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Koperal Norihan Tari, 39, parah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI