PONTIAN – Bermula dengan hobi, seorang bekas ejen insurans kini menjadikan tanaman terung sebagai sumber pendapatan tambahan sehingga mampu meraih pendapatan RM3,000 sebulan.
Nur Azia Samad, 38, berkata, dengan memajak tanah seluas 0.8 hektar, dia mengusahakan tanaman terung jenis 232 secara fertigasi berjumlah 4,000 polibeg.
Bagi memastikan dia mampu memenuhi permintaan pelanggan, Nur Azia menggunakan kaedah plot supaya terung dapat dituai dua bulan selepas ditanam.
“Saya memulakan projek tanaman terung ini pada 2021 sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengisi masa terluang kerana ketika itu tidak boleh keluar berjumpa pelanggan.
“Dengan bantuan suami, saya menyewa tanah selama 10 tahun untuk mengusahakan tanaman ini. Sekarang sudah hampir tiga tahun saya jadi pekebun,” katanya di Kampung Parit Latif, Rengit di sini baru-baru ini.
Nur Azia memberitahu, sebelum menanam terung, dia mencuba tanaman lain seperti lada cili, timun, namun harga sayuran itu tidak menentu ditambah pula kemasukan cili import menyebabkan petani rugi.
Jelas lulusan Diploma Pengurusan Hotel itu, dia melantik ejen di beberapa lokasi di Johor Bahru, selain memasarkan sayuran itu secara dalam talian kepada komuniti setempat atau taman perumahan supaya kaum ibu dapat menjana pendapatan tambahan.
“Jika jual secara terus kepada pemborong, ada masanya mereka beli pada harga RM1.80 sekilogram (kg), berbanding ejen RM4 sekilogram, manakala harga pasaran pula RM8 hingga RM9,” katanya. -KOSMO! ONLINE