TEL AVIV – Seorang anggota tentera Israel tular di media sosial selepas memuat naik klip video memaparkan dia memakai produk penjagaan kulit semasa bertugas, lapor laman berita Suara.com
Video tersebut dikongsikan dalam akaun Instagram @mimi.julid.
Askar Israel berbadan tegap itu dilihat membuka poketnya satu-persatu dan mula memakai produk penjagaan kulit wajah.
Dia dilihat menyapu krim tangan, membersihkan muka dengan tisu basah, memakai toner, serum dan krim serta krim pelindung matahari. Selepas itu, dia menyikat janggut dan memakai pelembab bibir.
Video itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen.
“Yang diperangi hanyalah bayi dan kanak-kanak, sebab itu ada masa untuk menjaga kulit,” komen seorang netizen.
“Mereka tidak sedar mereka sedang memalukan diri sendiri dan pasukan mereka,” komen netizen lain. – AGENSI