PUTRAJAYA – Pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) diingatkan agar mengelak daripada masalah yang dikenali sebagai ‘jadong’ atau singkatan jahat, bodoh dan sombong.
Ketua Sayap Belia Parti Keadilan Rakyat (PKR), Adam Adli Abdul Halim berkata, fenomena negatif itu dilihat begitu lazim dalam kalangan ahli politik di seluruh dunia.
“Masalah ini pernah didedahkan cendekiawan terkenal tanah air, Prof. Datuk Dr. Syed Hussein Alatas dan seharusnya dielakkan mereka yang bergiat dalam arena siasah.
“Pemimpin jadong ini hanya mampu tiru pemikiran orang lain, tetapi tiada pula berupaya selesai masalah sebenar,” katanya berucap pada Kongres Nasional Tahunan AMK 2023.
Terdahulu, beliau menyaksikan majlis perasmian bersama dengan Wanita Keadilan oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE