GELANGGANG dunia seni hiburan minggu ini dikejutkan dengan berita perceraian pasangan selebriti yang sebelum ini sentiasa membikin cemburu ramai menderas dengan kehangatan laman cinta mereka.
Ibarat daun kering yang gugur menyembah tanah, tiada angin tiada ribut, segala ukiran senyuman dan cerminan rasa bahagia yang dipaparkan dalam media sosial selama ini berselerak begitu sahaja.
Beberapa hari membiarkan spekulasi atau khabar angin bermaharajalela, akhirnya pelakon Mawar Rashid atau nama sebenarnya, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul mengesahkan dirinya kini bukan lagi isteri kepada lelaki bernama Raf Yaakob.
Bukan bersorak apatah lagi bertepuk tangan menyaksikan sebuah lagi ‘masjid’ terbina indah roboh tetapi inilah yang dikatakan rezeki, jodoh dan maut semua sudah ditetapkan Allah SWT semenjak manusia masih berada di dalam kandungan lagi.
Tiada pasangan suami isteri dalam dunia ini mengimpikan perpisahan dan pastinya, itu juga jalan dilewati Mawar dan Raf sebelum memutuskan untuk tidak lagi bersama atas ikatan suci tersebut.
Dalam bulat keputusan dua individu terbabit, ada yang sewenang-wenangnya menebak bermacam alasan yang menjadi asbab mereka tidak lagi berstatus suami isteri.
Ada yang mendakwa, Mawar meninggalkan status isteri kepada Raf atau nama lengkapnya, Raden Ahmad Faizal Yaakob kerana suami menentang keputusannya untuk tidak lagi bertudung.
“Mungkin suami tak nak tanggung dosa (sebab Mawar sekarang tidak bertudung). Jadi, bercerailah cara dia,” demikian antara peluru kata yang menembak pelakon itu dalam Instagram.
Ironi, hanya Mawar dan Raf, dua jiwa mengemudi bahtera perkahwinan itu sendiri yang tahu apakah masalah sebenar yang mereka tanggung.
Menurut Mawar, 28, perpisahan tersebut dilakukan atas persetujuan bersama, namun masih mengekalkan hubungan baik demi anak-anak.
“Kami berdua sudah bersetuju perpisahan ini atas dasar tiada persefahaman, namun masih mengekalkan hubungan baik.
“Fokus utama ketika ini adalah memberi sokongan dan kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak kami.
“Kerjasama dalam menjalankan tugas sebagai ibu bapa adalah sangat penting dan itu yang kami lakukan bersama ketika ini, insya-Allah,” kata Mawar yang merupakan bintang drama Suamiku Paling Sweet itu.
Anak-anak
Sedar tanggungjawab yang kekal ‘bersama’ walaupun tidak lagi memikul peranan suami isteri, Mawar mohon diberikan ruang agar perceraian mereka tidak dihangatkan dengan spekulasi yang tiada hujung pangkal, terutama sebab mereka memilih jalan cerai.
“Bukan mudah untuk kami berkongsi hal perpisahan ini kepada anda semua. Namun ini adalah jalan terbaik buat kami berdua.
“Terima kasih kerana sentiasa menyokong serta memberi kata-kata yang baik, semua itu sangat bermakna untuk saya dan Raf,” ujarnya.
Kata orang, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Janganlah hanya sebab kita tidak berada di posisi mereka yang terbeban, sewenang-wenangnya peluru serta racun bicara dilegar-legarkan.
Biarkan saja asbab perpisahan mereka hanya diketahui pihak yang berhak. Sebagai orang luar, kita sekadar boleh menilai dari jauh, namun untuk meronyokkan atau menambah carit helaian naratif perceraian mereka.