PETALING JAYA – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar rakyat tidak membiarkan pemimpin yang mempunyai peribadi buruk serta berperangai saling mencela dan menghina memegang tampuk pimpinan negara.
Sultan Nazrin yang juga Canselor Universiti Malaya (UM) bertitah, rakyat tidak boleh dibiarkan menjadi mangsa kepada tindak tanduk dan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
Ini kerana ia berpotensi mencetuskan kebencian dan menyalakan api permusuhan dalam kalangan masyarakat.
“Perkara ini bukannya berlaku di tepi-tepi jalan atau di pasar, tetapi berlaku di pentas, tempat dan dewan yang memiliki status kemuliaan, malah ada kalanya berlaku di tempat-tempat ibadah.
“Bahasa-bahasa kesat, lucah, fitnah, cerca, caci, memaki hamun dan menghina semakin kedengaran, disuarakan tanpa segan silu, malah dilakukan oleh pihak tertentu dengan kemegahan dan kebanggaan,” titah baginda ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen UM Ke-63 di Dewan Tuanku Canselor di sini hari ini.
Baginda bertitah, sifat berbudi bahasa dan sopan santun bukan sahaja diketepikan oleh golongan yang tidak berpendidikan atau tidak mempunyai jawatan tinggi, tetapi juga dikorbankan oleh mereka yang berpelajaran tinggi, mempunyai jawatan dan gelaran.
Tambah Sultan Nazrin, golongan pemimpin sepatutnya sedar perbuatan sedemikian berupaya memberikan implikasi negatif terutama kepada imej dan identiti negara di mata dunia.
Sehubungan itu, dalam mengatasi masalah ini, Rukun Negara kelima iaitu ‘kesopanan dan kesusilaan’ perlu diterapkan dalam program ilmu agar ia dapat dihayati dan diamalkan oleh rakyat.
“Rukun Negara diperkenalkan setelah asas perpaduan kaum dilihat rapuh dan goyah ketika berlakunya pergaduhan dan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, susulan berlakunya perang mulut dan laungan-laungan menyentuh sentimen kaum dan agama yang mencetuskan ketegangan kaum.
“Jadikan pengajaran daripada peristiwa pahit pada tahun 1969 untuk segera dilakukan langkah preventif, menghentikan suara provokatif yang memilih meniupkan bara pertelingkahan berasaskan kaum dan agama,” titahnya. – KOSMO! ONLINE