fbpx

Liga Super: TFC dimalukan Sabah 0-4

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain Sabah meraikan jaringan ketika bertemu TFC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus malam ini.

KUALA NERUS – Nasib malang menimpa finalis Piala Malaysia, Terengganu FC (TFC) apabila dibelasah empat gol tanpa balas kepada Sabah FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.

Kem pelawat hanya memerlukan enam minit untuk memecahkan kebuntuan melalui Ramon Machado yang melakukan voli menarik hasil hantaran Rizal Ghazali sebelum gol kedua hadir menerusi rembatan deras pemain sayap, Saddil Ramdani dari luar kotak penalti pada minit ke-29.

Gawang tuan rumah bocor lagi pada minit ke-40 setelah Garrido Cifuentes yang tidak dikawal mudah menyambar masuk bola hantaran Rizal dan menjadikan kedudukan 3-0.

Pertukaran pemain selepas rehat gagal mengubah nasib TFC sebaliknya Sabah menambah gol keempat minit ke-48 melalui Jafri Firdaus Chew yang menerima umpanan Machado dari sebelah kiri.

Keputusan itu kekal sehingga wisel penamat ditiup pengadil Nafeez Abd. Wahab yang mengesahkan kemenangan buat pasukan Sabah yang kini mengutip 48 mata di tempat keempat manakala TFC kekal di tangga keenam dengan 36 mata. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI