MANCHESTER – Perhitungan dengan Manchester City di Stadium Etihad malam ini bakal menjadi pentas buat kapten Liverpool, Virgil van Dijk untuk membuktikan dirinya sudah pun kembali ke puncak prestasi.
Tonggak pertahanan Belanda itu dikritik hebat musim lalu ekoran prestasi kurang memuaskan ekoran kecederaan lutut dialami pada Oktober 2020 yang menyebabkannya terpaksa berehat selama sembilan bulan.
Tidak menafikan prestasinya berada di bawah par ketika Liverpool menamatkan musim lalu di tempat kelima tetapi Van Dijk percaya dirinya mula mempamer peningkatan untuk menjulang The Reds meraih keputusan lebih baik bagi saingan kali ini.
“Saya sentiasa meletakkan standard yang cukup tinggi, namun musim lalu ada turun dan naik. Sekarang saya sedang berada pada tahap terbaik dari segi fizikal serta mental dan jelas sekali ini adalah perkara terpenting buat saya.
“Saya mahu teruskan aksi terbaik dan paling penting lebih kepada perasaan iaitu apa yang rakan sepasukan fikir mengenai saya terutamanya pengurus. Kini saya hanya mahu terus pamer peningkatan dan itulah yang saya sedang lakukan.
“Apa yang saya perjuangkan sekarang adalah kekal konsisten sepanjang musim. Kini pasukan boleh bergantung harap kepada saya memandangkan saya turut menggalas peranan sebagai kapten,” kata Van Dijk.
City mendahului carta Liga Perdana Inggeris dengan 28 mata, hanya berkelebihan satu mata berbanding The Reds yang menamatkan aksi rehat antarabangsa menerusi kemenangan 3-0 ke atas Brentford.
The Citizens seakan berdepan musim penuh sukar apabila diikat Chelsea 4-4 selain kelab itu juga terpalit dengan isu berkaitan pelanggaran Peraturan Kewangan Adil (FFP).
Sementara itu, seorang lagi pertahanan Liverpool, Konstantinos Tsimikas turut menyatakan kesediaannya untuk mengekang ancaman jentera serangan City kerana menganggap apa sahaja boleh berlaku dalam perlawanan berprofil tinggi seperti itu.
“Saya fikir kedua-dua pasukan adalah yang terbaik di dunia ketika ini dan saya lihat perlawanan ini tidak ubah seperti final. Semua orang tahu tentang perlawanan kali ini dan saya fikir ia akan jadi satu tugas mencabar,” jelasnya. – AGENSI