fbpx

Konflik Palestin-Israel: Gaza tenang buat seketika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENDUDUK Palestin yang berlindung di penempatan sementara pulang ke rumah masing-masing di timur Khan Younis semasa gencatan senjata empat hari bermula semalam. – AFP

BANDAR GAZA – Gencatan senjata empat hari Israel-Hamas berkuat kuasa semalam dalam penangguhan pertama perang di Gaza yang berlanjutan selama tujuh minggu dan meragut ribuan nyawa

Bermula pukul 7 pagi (1 tengah hari waktu Malaysia), gencatan tersebut bertujuan untuk melenyapkan bunyi tembakan dan menghentikan pengeboman dalam perang yang tercetus selepas Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober lalu.

Lewat hari sama, seramai 13 tebusan yang ditahan di Semenanjung Gaza akan dibebaskan, diikuti dengan pembebasan sebilangan tahanan Palestin dari penjara Israel, demikian menurut pasukan pengantara Qatar.

Sepanjang tempoh empat hari gencatan senjata itu berkuat kuasa, sekurang-kurangnya 50 tebusan warga Israel dijangka dibebaskan, meninggalkan baki kira-kira 190 lagi di bawah tahanan kumpulan Hamas.

Sepanjang tempoh tersebut juga, seramai 150 tahanan Palestin dijangka dibebaskan.

Bagi lebih dua juta penduduk Gaza, gencatan senjata itu sepatutnya memberi kelegaan kepada mereka selepas menghadapi pengeboman Israel selama beberapa minggu .

Kerajaan Hamas di Semenanjung Gaza berkata, perang tersebut telah membunuh hampir 15,000 orang setakat ini, manakala bilangan penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal pula ‘tidak terkira jumlahnya’.

Jumlah sebenar korban di Gaza adalah mustahil untuk disahkan secara bebas, tetapi jelas bahawa bagi ramai keluarga Palestin, pe­nangguhan dalam keganasan Israel itu sudah terlambat.

“Orang yang hidup di sini (Gaza) adalah mereka yang sudah mati,” kata penduduk setempat, Fida Zayed. Anak lelakinya, Udai yang berumur 20 tahun terbunuh dalam serangan udara Rejim Zionis baru-baru ini.

“Perkara terakhir yang dia katakan kepada saya ialah dia sedang menunggu gencatan senjata pada hari Jumaat (semalam)

“Dia minta saya supaya mememasak nasi dan lauk ayam untuk dirinya.

“Saya berharap saya dan anak-anak saya mati di sini supaya kami tidak perlu bersedih untuk satu sama lain,” tambahnya kepada AFP.

Sementara itu, beberapa pegawai Qatar berkata: “Kumpulan pertama 13 tebusan yang akan dibebaskan itu merangkumi wa­nita dan kanak-kanak daripada keluarga yang sama.

Sumber keselamatan Mesir memberitahu AFP bahawa pegawai keselamatan Israel, kakitangan Bulan Sabit Merah, Palang Merah Antarabangsa dan pasukan Mesir ditempatkan ke Lintasan Sempadan Rafah, sempadan Mesir-Gaza, untuk menerima tebusan tersebut yang kemudiannya akan diterbangkan ke Israel.

AFP telah mengesahkan identiti 210 daripada kira-kira 240 orang yang diculik semasa serangan rentas sempadan oleh kumpulan pejuang Hamas.

Israel menyatakan bahawa kira-kira 1,200 orang, kebanyakan mereka orang awam terbunuh dalam serangan pada 7 Oktober lalu.

Semalam juga menyaksikan banduan Palestin yang ditahan di penjara Israel akan dibebaskan, kata jurucakap kementerian luar Qatar, Majed Al Ansari sambil menambah, senarai nama kumpulan banduan berkenaan telah diluluskan.

Gencatan senjata semalam melarang sama sekali serangan dari udara atau darat termasuk dron untuk membenarkan pembebasan tebusan dan tahanan berlaku dalam persekitaran yang selamat, kata Ansari.

Israel juga menerbitkan senarai mengandungi nama 300 rakyat Palestin yang boleh dibebaskan, sekiranya gencatan senjata itu dapat bertahan lebih lama daripada empat hari. Antara mereka termasuk 33 wanita dan 267 kanak-kanak serta remaja berumur 19 tahun ke bawah. Senarai itu turut melibatkan 49 anggota Hamas.

Terdahulu, kerajaan di seluruh dunia menyambut baik gencatan senjata singkat tersebut dengan sebahagian mereka berharap ia akan membawa kepada pengakhir­an perang di Semenanjung Gaza.

Israel bagaimanapun berkata, gencatan senjata itu hanya bersifat sementara. – AFP

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI