WASHINGTON – Satu kajian baharu mendapati bahawa angkasawan lelaki lebih berisiko mengalami mati pucuk selepas pulang daripada misi ke angkasa lepas, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam The Faseb Journal itu, mereka bukan sahaja berisiko mengalami masalah mati pucuk ketika berada di angkasa lepas, namun berterusan selepas pulang ke Bumi.
Saintis berkata, risiko mati pucuk berlaku kerana angkasawan terdedah kepada sinar kosmik galaksi (GCR) yang tinggi dan berada di ruang graviti sifar yang seterusnya menjejaskan kesihatan seksual mereka.
Penyelidikan dibiayai Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) itu memberi amaran kelmarin mengenai risiko kesihatan baharu ketika penerokaan angkasa lepas.
“Walaupun kesan negatif sinaran kosmik galaksi berpanjangan, penambahbaikan menunjukkan bahawa mati pucuk ini boleh dirawat,” kata pengarang kanan kajian, Dr. Justin La Favor dari Universiti Negeri Florida.
La Favor yang merupakan pakar neurovaskular berkata, kesihatan angkasawan perlu dipantau rapi apabila mereka pulang ke Bumi memandangkan lebih banyak misi dirancang pada tahun-tahun akan datang. – AGENSI