fbpx

K2

Suami kemaruk cinta ‘amoi’ salon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEKERAPAN suaminya pergi ke salon menimbulkan keraguan Deeba terhadap lelaki itu. – Gambar hiasan

SOAL jodoh dan berapa lama ia bertahan tiada siapa mampu menduga.

Wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Deeba itu mengakui pernah melalui fasa terindah percintaan dan rumah tangga.

Bagaimanapun, bak kata orang, yang terindah itu hanya sementara.

Wanita kelahiran Rembau, Negeri Sembilan itu tidak menyangka suami yang pernah dianggap cinta sejatinya sanggup berlaku curang kepadanya.

Membuka cerita, Deeba berkata, dirinya selamat bernikah bersama lelaki itu sekitar lima tahun lalu secara sederhana.

Menurutnya, perkenalan mereka begitu singkat dan direstui kedua-dua keluarga sebelum masing-masing memutuskan untuk membina mahligai bahagia.

“Saya anggap dia cinta sejati saya. Maklumlah, perkenalan kami secara tidak sengaja dan fasa itu sangat singkat. Tidak seperti pasangan lain, kami benar-benar dilamun cinta biarpun perkenalan tidak sampai setahun.

“Cukup mengetahui serba sedikit latar belakang diri dan ahli keluarga terdekat, kami memutuskan untuk bernikah ekoran usia kami berdua pun sudah menjengah 40 tahun ketika itu,” kata Deeba.

Tambahnya yang merupakan seorang jururawat, suaminya mempunyai perniagaan barangan terpakai yang diusahakan lebih sedekad lalu.

Justeru, waktu bekerja suaminya tidak terikat dengan jadual yang ditetapkan, tidak seperti diri Deeba yang mempunyai syif tertentu.

“Macam suami, dia memang kerap berada di rumah dan jika keluar bekerja pun tidak berjam-jam lamanya seperti saya bekerja di hospital.

“Kerja-kerja suami banyak dibantu pekerja-pekerja bawahannya dan dia sekadar memantau. Datang ke pejabat jika perlu sahaja,” kata Deeba lagi.

Tiga tahun berkongsi kasih, kehidupan mereka diserikan dengan sepasang cahaya mata kembar. Kedua-duanya membesar dengan baik dan dijaga mereka berdua secara bergilir-gilir.

Memasuki kemuncak cerita, Deeba memberitahu selepas anak mereka mencecah usia dua tahun, sikap suaminya yang dikenali sebagai Imran (bukan nama sebenar) mula berlainan daripada kebiasaan.

Akuinya lagi, suaminya memang seorang yang mementingkan penjagaan imej terutama gaya rambut yang kemas dan elok dipandang.

“Bezanya saya mula perasan suami kerap kali bergunting rambut.

“Boleh dikatakan setiap dua minggu pasti ke salon yang baru dibuka berdekatan tempat kami diami semata-mata untuk bergunting.

“Kadangkala rambut suami masih belum panjang, tetapi tetap dia pergi ke salon untuk bergunting. Tertanya-tanya juga dalam hati saya, bukankah biasanya orang gunting rambut sebulan atau dua bulan sekali?” katanya.

Menambah persoalan dan teka-teki, Deeba memberitahu, suaminya juga sudah pandai keluar malam dan ada kalanya meninggalkan kedua-dua anak begitu sahaja tanpa penjagaan.

“Perkara itulah (tinggalkan anak) buat saya bengang dan naik angin. Saya ini bekerja syif dan tidak menentu, boleh pula dia tinggalkan anak begitu saja tanpa jagaan sesiapa, lagi-lagi ketika waktu malam.

“Bila saya tanya, suami cuma bilang dia beli rokok dan singgah ke kedai runcit terdekat. Namun, kata hati saya, suami menipu dan pasti ada sesuatu yang dilakukan di luar,” katanya.

Beberapa bulan berterusan begitu, akhirnya Deeba mendapat tahu cerita sebenar. Itupun daripada mulut jiran yang ternampak suaminya bersama wanita lain.

Puas menyoal dan menyiasat, akhirnya suami membuka mulut dan mengakui dia menjalin cinta dengan seorang gadis Cina kelahiran Thailand yang bekerja di salon tempatnya bergunting.

Katanya lagi, ‘amoi’ muda itu turut menyambut cintanya dan mereka beberapa kali terlanjur memandangkan wanita itu tinggal sewa berseorangan tidak jauh dari salon.

Kecewa dengan perbuatan suami yang hanyut angkara hawa nafsu bisikan syaitan, Deeba nekad meminta untuk dilepaskan dan akhirnya membawa haluan bersama kedua-dua anaknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI