PETALING JAYA – Seorang guru terkejut dan sebak setelah menerima kejutan hari lahir daripada para pelajarnya yang juga merupakan kanak-kanak istimewa.
Dalam video yang dimuat naik oleh cikgu @alauddin_yahaya di laman TikTok, pelajarnya sanggup berlakon kononnya sedang bergaduh sebelum membuat kejutan kepada guru kesayangan mereka itu.
“Ini semua akal anak-anak istimewa. Terima kasih atas kejutan,” kata Alauddin dalam ruangan kapsyen.
Meninjau ke ruangan komen, ramai pengguna di laman TikTok mengakui tersentuh hati melihat kemesraan guru tersebut bersama anak-anak muridnya.
“Banyak kali saya ulang video ini. Nampak cikgu sangat ambil berat tentang anak-anak istimewa ini. Semoga cikgu dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki,” kata Syam.
“Sebaknya, mengalir air mata saya. Selamat hari jadi cikgu, semoga anak-anak istimewa bawah didikan cikgu membesar dengan sihat,” kata Rasman.
“Cerdik anak-anak ini. Walaupun mereka banyak kekurangan, masih boleh fikir untuk buat kejutan dekat cikgu,” kata Wannie.
Kini, hantaran tersebut telah menerima 58,100 tanda suka dan 1,100,000 tontonan. – KOSMO! ONLINE