TURIN – Penyerang sensasi Juventus, Alvaro Morata mengakui dirinya di puncak prestasi selepas menjaringkan gol kemenangan untuk membantu pasukan meraih kemenangan 2-1 ke atas Ferencvaros dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, Morata menjaringkan gol kelima dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah untuk memastikan The Old Lady meraih tiga mata penuh sekali gus menempah tiket ke pusingan kalah mati musim ini.
Sebagai rekod, Juventus yang dikendalikan oleh Andrea Pirlo telah mendapatkan khidmat Morata daripada Atletico Madrid, sekali gus menyaksikan penyerang antarabangsa Sepanyol itu kembali ke Turin sejak musim 2016.
Kata Morata, kematangan menjadi salah satu punca dirinya kembali mempamerkan bisa selain lebih tenang menerima kritikan.
“Saya akui berada dalam puncak karier kerana kehadiran saya ke Juventus musim ini adalah keputusan yang tepat. Tidak keterlaluan untuk saya katakan prestasi saya lebih baik.
“Mungkin salah satu faktor utama adalah ketenangan di dalam menyudahkan peluang berbanding ketika saya berusia 22 tahun. Apa yang pasti, saya mahu momentum ini diteruskan kerana gembira untuk kembali bersama Juventus,” katanya.
Sementara itu, Pirlo mengakui berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan oleh Morata tetapi dalam masa yang sama percaya pasukan tidak boleh mendabik dada kerana banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. – AGENSI