SEREMBAN – Pemilik syarikat penjualan dan penyelenggaran penapis air mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dua pertuduhan gagal mengemukakan penyata pendapatan Borang B berjumlah RM83,504.
Noorzadila Saman, 38, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Noorhafizah Ishak.
Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan Borang B bagi tahun 2017 dan 2018 pada atau sebelum 30 Jun tahun berikutnya kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri berjumlah RM248,392.
Dia juga didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan dalam Borang B bagi tahun 2019, 2020 dan 2021 pada atau sebelum 30 Jun tahun berikutnya kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri dengan tiada sebab munasabah membabitkan pendapatan bercukai berjumlah RM367,839.
Justeru, OKS melakukan kesalahan di bawah Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang boleh dihukum mengikut seksyen dan akta sama.
Prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Hood Ismail dan Muhammad Afiq Ahmad Tajuddin, manakala OKS diwakili peguam Asmawi Ismail.
Mahkamah menetapkan 29 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE