KOTA BHARU – Seorang peniaga buah-buahan membuat pesanan satu tan ubi kayu untuk dijual di musim tengkujuh yang bermula Ahad lalu.
Mohd. Nasruirzan Mohd. Yaakob, 30, berkata, dia membuat pesanan beberapa hari lalu dan bekalan sampai malam tadi daripada seorang penduduk di Kampung Beris, Bachok.
Menurutnya, jualan ubi kayu dan keledek sangat laris apabila tibanya musim tengkujuh berbanding dengan buah-buahan import.
“Saya membuat pesanan satu tan ubi kayu selain ubi keledek, ubi keling dan ubi itiķ. Saya jual ubi kayu dengan harga RM4
sekilogram dan keledek juga dijual dengan harga RM4 juga.
“Orang ramai mula membeli ubi kayu di kedai saya sebaik bekalan sampai,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Kala, Peringat di sini, semalam.
Mohd.Nasruirzan berkata, buat masa ini, jual buahan-buahan import kurang mendapat sambutan dan jualannya juga merosot menyebabkan dia beralih kepada menjual ubi.
“Saya mengambil peluang di musim tengkujuh ini dengan menjual ubi kayu dan keledek kerana kebanyakan penduduk memang gemar makan ubi kayu rebus selain membuat kuih muih.
“Jualan ubi kayu tidak akan rugi kerana tahan lama, tidak mudah buruk seperti buah-buahan. Kalau musim banjir orang di Kelantan lebih suka makan ubi,” katanya.