KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara mengesahkan Individu yang dikenali sebagai ‘Mr. H’ sudah diambil keterangan selepas didakwa terlibat dalam kes video tular babit bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff, hari ini.
Tanpa mendedahkan lokasi rakaman percakapan, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan tindakan tersebut sudah selesai pagi tadi.
“Mr. H telah dirakam percakapannya pagi tadi. Selain itu, Mohammad Agus dan dua lagi individu turut dirakam percakapan mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Pelancaran Peraturan 3C sempena sambutan Bulan Integriti 2023 di Maktab PDRM, Cheras di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani masih belum membuat sebarang laporan polis berkaitan kes itu.
Justeru itu, beliau turut menggesa individu berkenaan tampil bagi membantu siasatan kes video terbabit.
Terdahulu, Mohammad Agus tampil di Ibu pejabat Polis Daerah Kajang bagi memberi keterangan berhubung kes video perbualan mirip dirinya dengan seorang kakitangan J-KOM.
Sebelum ini, tular dalam media sosial video berdurasi tiga minit memaparkan perbualan secara dalam talian antara lelaki didakwa mirip Mohammad Agus dengan seorang individu lain.
Bagaimanapun, Mohammad Agus mendakwa video itu disunting dan telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan. – KOSMO! ONLINE.